Bila Rindu

Selasa, 15 Mac 2011

Pemandu Bas

Tarikh  : 10 Mac 2011
Hari     : Khamis
Waktu  : 5.00 petang
Tempat : Perhentian Bas Taman Bernam

Peristiwa:
Aku bersama rakan-rakan baru sahaja selesai kuliah di Taman Bernam. Kami menuju ke perhentian bas berhadapan dengan Taman Bernam untuk menunggu bas. Setelah 10 minit berlalu, bas tidak muncul juga. Beberapa minit kemudian, dari jauh kelihatan bas UPSI yang akan berhenti di perhentian. Kami terus beratur untuk menanti bas tersebut tiba. Namun bas tersebut tidak berhenti. Kekecewaan kami bertambah apabila sikap pemandu bas yang tidak langsung memandang ke arah kami dan terus membawa bas dengan laju. Bas tersebut hanya membawa beberapa orang penumpang sahaja.

Catatan:
Sikap pemandu bas tersebut tidak wajar dicontohi. Tugas utama pemandu tersebut adalah untuk mengambil pelajar. Namun pemandu tersebut tidak menjalankan tanggungjawab yang dipikul dengan baik. Seharusnya kita perlu mempunyai sikap tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan tugasan. Renung-renungkan. J




Isnin, 14 Mac 2011

Kagum

Tarikh  : 8 Mac 2011
Hari     : Selasa
Waktu : 11.00 pagi
Tempat : Klinik Kesihatan Tanjong malim

Peristiwa:
Pada hari ini aku bersama empat orang rakan telah pergi ke Unit Psikososial Klinik Kesihatan Tanjong Malim, Perak. Tujuan kami adalah untuk membuat penyelidikan mengenai penerapan modal insan dalam kalangan pesakit mental. Penyelidikan ini bertujuan untuk memenuhi tugasan berkumpalan bagi  kursus Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan. Terdapat seramai 21 orang  pesakit mental yang menerima rawatan di klinik tersebut. Namun aku tertarik dengan kisah Pak Sidek yang berusia 50 tahun. Otaknya sangat bijak. Namun sejak kematian ibunya pada tahun 1980 dan tekanan hidup, dia telah mengalami ganguan mental. Pak Sidek tidak berkahwin dan tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapanya. Sikap ibu tirinya yang garang dan suka memerintah telah menjadikan dia hidup dalam keadaan tekanan. Menurut ceritanya lagi, dia pernah belajar di Institut Kemahiran Belian Negara (IKBN) cawangan Kelantan sehingga memperoleh sijil. Namun terdapat perkara yang lebih  menarik perhatian kami mengenai Pak Sidek  apabila Pak Sidek menyuruh kami mengamalkan bahasa dengan betul. Menurutnya bahasa jiwa bangsa.


Catatan:
Sebagai manusia yang normal, kita seharusnya bersyukur dengan anugerah yang telah diberikan Tuhan kepada kita. Walaupun Pak Sidek mengalami ganguan mental, namun dia tidak lupa akan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan rasmi. Aku turut kagum dengannya. J


Bersama Pak Sidek


Berat Mulut

Tarikh  : 7 Mac 2011
Hari     : Isnin
Waktu : 12.00 tengah hari
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku baru sahaja pulang dari kelas di Proton City. Kakiku terus melangkah menuju ke pintu lif untuk naik ke tingkat sembilan. Seramai enam orang yang akan bersama-sama menaiki lif bersamaku. Aku menjaga butang lif supaya pintu keluar masuk dapat diawasi. Maklum sahajalah aku berada pada aras atas sekali dan orang terakhir yang akan keluar. Aku bertanyakan kepada pelajar lain aras yang mereka akan naik. Ada yang menjawab aras lima, aras enam dan aras lapan. Ucapan terima kasih turut diujarkan. Namun terdapat seorang pelajar yang akan naik ke aras 7 tidak memberitahu aku supaya menekan butang aras tujuh. Terus sahaja tangannya mencapai butang tujuh. Agak terperanjat juga aku apabila secara tiba-tiba sahaja dia mencapai butang aras tujuh.

Catatan:
Tingkah laku cerita di atas agak kurang sopan dilakukan oleh pelajar tersebut. Tidak salah kiranya dia meminta tolong daripada aku. Aku tidak menginginkan apa-apa. Sekadar ingin menolong. J



Gambar hiasan



Ahad, 6 Mac 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

Tarikh  :  6 Mac 2011
Hari      : Ahad
Waktu  : 3.00 petang
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Semalam telah berlangsungnya majlis diskusi ilmu. Banyak perkara yang aku telah pelajari sepanjang majlis tersebut berlansung. Pada awal  permulaan majlis, terdapat nyanyian sebuah lagu yang bertajuk Bahasa Jiwa Bangsa. Aku tertarik dengan lirik lagu tersebut. Lirik lagunya seperti berikut :


Lirik Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa
Catatan:
Melalui lirik lagu tersebut, kita dapat fahami bahawa lagu Bahasa Jiwa Bangsa menyeru rakyat satu Malaysia agar menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Melalui bahasa, rakyat yang berbilang kaum akan dapat disatukan. Selamat mendengar. J





Sabtu, 5 Mac 2011

Diskusi Ilmiah

Tarikh  : 5 Mac 2011
Hari      : Sabtu
Waktu  : 9.00 pagi
Tempat : Auditorium Utama UPSI


Peristiwa:
Pada 5 Mac 2011, telah diadakan satu majlis diskusi ilmiah yang berlangsung di Auditorium Utama UPSI.  Diskusi ilmiah  ini bertajuk “Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini”. Penceramah jemputan  terdiri daripada  Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, En.Rusli bin Abdul Ghani dan Puan Norliza binti Jamaluddin. Diskusi ilmiah ini dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) UPSI. Satu perkara yang menarik perhatian aku ialah perkara yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Menurut beliau, Tatabahasa Dewan adalah pegangan utama guru bahasa Melayu untuk diajarkan di sekolah. Namun guru juga seharusnya memilih bahan rujukan lain untuk melihat persamaan dan perbezaan. Banyakan membaca dan mencari ilmu baharu yang mungkin dapat membantu bakal-bakal guru bahasa Melayu di sekolah kelak.

Catatan:
Tatabahasa Dewan merupakan sebuah buku rujukan berkaitan dengan hukum tatabahasa dalam bahasa Melayu. Buku ini menjadi rujukan utama bagi guru dan murid di sekolah. Namun hal ini tidak bermakna buku rujukan lain tidak boleh digunakan. Sebagai bakal guru bahasa, kita seharusnya menjadikan buku Tatabahasa Dewan  dan beberapa buah buku lain sebagai pegangan dan rujukan. J


Saing

Tarikh  : 2 Mac 2011
Hari      : Rabu
Waktu   : 3.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku teringat kembali kenangan ketika aku berada di semester satu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ketika itu, aku baru sahaja mengenali budaya luar. Sangat berbeza dengan kehidupan sebelum ini. Satu pekara yang aku pelik ialah mengenai bahasa dialek. Contohnya perkataan “saing”. Jika di Johor, saing membawa maksud pergi bersama-sama. Tetapi jika di Kelantan, saing bererti kawan. Patutlah jika aku mengajak kawan aku yang berasal daripada Kelantan untuk pergi ke kuliah bersama-sama, dia berasa hairan mengapa aku menyebut perkataan saing. Contohnya “nanti pergi saing”, kata aku kepada Mira. Mira yang berasal dari Kelantan agak hairan mengapa aku menyebut perkataan saing.

Catatan:
Bahasa dialek sesuatu kawasan agak berbeza daripada segi makna perkataan tertentu. Kadangkala bahasa dialek ini akan mengelirukan seseorang penutur yang bukan datangnya dari daerah yang sama. Sebaiknya kita haruslah belajar bahasa dialek dari negeri lain untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Selamat belajar. J

Saing (pergi bersama-sama)

Saing (kawan)


“Cetusan Ilmu Menjana Pendidikan”

Tarikh  : 1 Mac 2011
Hari      : Selasa
Waktu  : 2.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Bermula pada 1 Mac hingga 6 Mac 2011, akan berlangsung Pesta Ilmu dan Informasi 2011 di Kolej Harun Aminurrashid. Pesta ilmu ini bertemakan “Cetusan Ilmu Menjana Pendidikan”. Pelbagai program menarik yang disediakan. Antaranya jualan gerai buku, forum perdana, ceramah Maulidurrasul, festival nasyid dan berbagai lagi acara yanga menarik.

Catatan:
Aktiviti pesta ilmu yang dijalankan di Kolej Harun Aminurrashid ini bertujuan untuk menarik minat membaca dalam kalangan pelajar dan orang ramai. Terdapat pelbbagai jenis buku yang akan dijual termasuklah buku yang berkaitan dengan agama, pendidikan, sejarah, buku kanak-kanak dan sebagainya. Perangkaan menunjukkan bahawa secara purata setiap tahun, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja. Dua buah buku ini hanyalah komik dan novel-novel cinta. Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda. Persoalannya, mengapaka bahan ilmiah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat. Diharapkan dengan adanya pesta ilmu ini, akan menarik rasa minta dalam kalangan warga Malaysia untuk bersama-sama memanfaatkan kepentingan membaca. J  



Bacalah


HAK Milik Rogayah Ahmad