Bila Rindu

Jumaat, 18 Mac 2011

Guru

Tarikh  : 18 Mac 2011
Hari     : Jumaat
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku telah berjumpa kembali bersama guru yang mengajar aku semasa berada di darjah enam. Wajahnya tidak banyak berubah. Cikgu Suzana namanya. Cikgu Suzana mengambil Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di UPSI dalam bidang bahasa Melayu. Banyak perkara yang telah  aku bualkan bersamanya. Antaranya berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan cara mengawal murid. Namun satu perkara yang menarik perhatianku apabila Cikgu Suzana menyatakan bahawa apabila kita berhadapan dengan murid, kita tidak perlu memberikan ganjaran atau peneguhan dalam bentuk benda seperti bahan makanan ringan. Sebagai seorang guru, kita boleh memberikan peneguhan melalui pujian, kata-semangat dan perangsang untuk menjadikan murid lebih seronok dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Catatan :
 Sebagai seorang bakal pendidik, aku terfikir bahawa benar juga tentang perkara yang diujarkan oleh Cikgu Suzana. Jika sebelum ini pengajaran makro yang disampaikan oleh pelajar kelas Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 2, lebih memberikan peneguhan dalam bentuk makanan ringan. Hal seperti ini lebih menarik perhatian murid. Namun harus diingat bahawa, ketika di sekolah jika kita asyik memberikan ganjaran, murid akan selalu mengharapakan sesuatu daripada guru. Murid akan belajar dalm situasi yang tidak ikhlas dan hanya untuk mendapatkan ganjaran dan bukannnya untuk menuntut ilmu. Renung-renungkan J





Hikayat Abdullah

Tarikh  : 17 Mac 2011
Hari     :  Khamis
Waktu :  09.00 pagi
Tempat :  Proton City

Peristiwa:
Pada hari ini aku bersama ahli kumpulan yang lain akan membentangkan Hikayat Abdullah  di dalam kelas karya agung. Agak gementar juga untuk membentangkan tugasan pada hari ini. Hal ini demikian kerana pensyarah aku iaitu Profesor Abdullah Hassan merupakan salah seorang tokoh bahasa. Jika terdapat kesalahan berbahasa pasti akan ditegur oleh beliau. Satu perkara yang menarik perhatianku apabila beliau menegur salah seorang daripada ahli kumpulan mengenai nada ketika bertutur. Contohnya ayat,  “antara perkara yang menarik”. Nada yang harus digunakan bagi menggunakan ayat tersebut adalah secara menurun dan bukannya diujarkan secara menaik.

Catatan:
Banyak perkara yang aku pelajari melalui kelas karya agung ini. Kuliah karya agung ini bukan sahaja berkisarkan kepada karya-karya agung, namun berkisar juga kepada penuturan bahasa baku yang lebih baik. J





Mahal

Tarikh  : 16 Mac 2011
Hari     : Rabu
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku memilih untuk membeli makanan di kedai makan Kolej Harun Aminurrashid. Aku mengambil sedikit sahaja sayur sawi goreng. Aku jangkakan harga bayaran tersebut sekitar RM0.80  hingga RM1.00. Namun pekerja kedai makan tersebut meletakkan bayaran sebanyak RM1.50. Aku terkejut dengan harga bayaran sayur tersebut yang agak mahal kerana sayur yang aku ambil sedikit sahaja kuantitinya. Aku terus membayar kerana malas hendak bertelagah dengan pekerja tersebut. 

Catatan:
Pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPSI, telah menetapkan harga makanan bagi setiap kedai makan di bawah pengurusan mereka. Namun pekerja kedai makan tersebut sesuka hati sahaja menaikkan harga makanan. Sikap seperti ini tidak wajar dicontohi kerana mahukan keuntungan yang lebih besar sahaja. J


Inilah sayurnya







Jepun

Tarikh  : 15 Mac 2011
Hari     : Selasa
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku tertarik untuk berkongsi cerita berkaitan dengan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun. Setiap hari terpampang kisah gempa bumi dan tsunami di akhbar. Hatiku tersentuh melihat bencana alam yang menimpa Jepun. Berjuta-juta penduduk di bahagian utara Jepun yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami terpaksa hidup tanpa air, makanan atau peralatan pemanas badan dalam cuaca sejuk yang hampir beku. Miyagi, negeri yang paling teruk terjejas dalam bencana alam itu.  Rumah pembakaran mayat di situ tidak dapat menampung jumlah mayat yang dibawa masuk untuk dibakar. Namun terdapat  satu perkara yang menarik perhatianku. Walaupun Jepun sedang mengalami bencana alam yang teruk, namun sikap orang Jepun yang sudah terdidik dengan peraturan dan disiplin hidup dapat dilihat dengan jelas ketika situasi menyelamat mangsa. Rakyat Jepun akan beratur menunggu giliran untuk diselamatkan oleh pihak penyelamat. Mereka tidak mementingkan diri sendiri dan sabar menanti walaupun kesan daripada gempa bumi dan tsunami akan mengancam nyawa mereka dalam sekelip mata sahaja.
Catatan:
Kita haruslah mencontohi sikap penduduk Jepun yang sanggup beratur menunggu giliran untuk diselamatkan walaupun bahaya  akan menanti. Sikap tidak mementingkan diri sendiri akan memudahkan kerja-kerja penyelamat untuk menyelamatkan mangsa. Sikap seperti ini perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan ksejahteraan hidup dan sikap saling hormat menghormati. J

                               
                                Tsunami di Jepun

Khamis, 17 Mac 2011

PABM

Tarikh  : 14 Mac 2011
Hari     : Isnin
Waktu :  9.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Pada hari jumaat  yang lepas, aku telah menonton peringkat akhir pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 di kaca televisyen saluran satu. Aku berasa kagum dengan kehebatan peserta dari luar negara  yang menyampaikan persembahan pidato dalam bahasa Melayu. Berikut merupakan kenyataan akhbar berkaitan dengan pertandingan tersebut :

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara. Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya. "Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu. "Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini. Menurut Mohamed Khaled, kementerian akan terus memperkasakan pelbagai program untuk membantu penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan untuk menguasai bahasa Melayu. "Kita akan memperbanyakkan program seumpama ini selain mewujudkan program baharu termasuk mewajibkan mereka mengambil subjek Bahasa Melayu, namun segala keputusan yang diperoleh tidak akan direkodkan. "Ia hanya bertujuan membantu mereka menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berurusan di negara ini," katanya. Selain itu jelasnya, kementerian juga akan memperbanyakkan program pertukaran pelajar bagi membolehkan proses penguasaan bahasa Melayu dilakukan. Seramai 59 peserta dari 56 negara akan berentap bagi merebut Piala Perdana Menteri itu. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan antarabangsa untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.

Catatan:
Penganjuran pertandingan seperti ini mampu memartabatkan kembali bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia namun  ke peringkat antarabangsa juga. Usaha murni yang dijalankan oleh pihak kerajaan ini seharusnya diberikan pujian di atas penganjurannya.  J

Peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 

Selasa, 15 Mac 2011

Komuter

Tarikh  : 13 Mac 2011
Hari     : Ahad
Waktu  :  9.00 malam
Tempat : Kuala Lumpur

Peristiwa:
Pada hari ini aku telah pulang semula ke Tanjong Malim setelah tiga hari aku mengahabiskan cuti di kampung. Semasa di Kuala Lumpur, aku telah menggunakan pengangkutan awam iaitu komuter untuk pulang ke Tanjong Malim. Aku telah menaiki komuter dan duduk di bahagian koc wanita. Namun terdapat juga orang lelaki yang menaiki koc tersebut. Sikap tersebut seolah-olah tidak menghormati kaum wanita lain dan lebih mementingkan diri sendiri sahaja.  

Catatan :
Perkataan koc menurut Kamus Dewan Edisis Keempat yang membawa maksud gerabak kereta api untuk membawa penumpang. Koc wanita yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) hanya boleh digunakan oleh penumpang wanita sahaja. Namun terdapat juga pengguna lelaki tanpa segan dan malu menaiki koc tersebut. Sikap pentingkan diri sendiri ini tidak harus dicontohi. Renung-renungkan. J



Hanya untuk wanita sahaja

Jiran

Tarikh  : 9 Mac 2011
Hari     : Rabu
Waktu :  9.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku sedang menelaah pelajaranku sendirian di dalam bilik. Teman sebilikku masih belum pulang dari perbincangannya dengan teman sekelas. Walau bagaimanapun, tumpuanku agak terganggu pada malam ini. Bunyi bising dengan gelak tawa dari arah tingkat bawah rumahku benar-benar mengganggu pembacaanku. Satu perkara yang tidakku sangka apabila tiba-tiba terdengar satu suara memarahi pelajar-pelajar yang membuat bising itu. Ayatnya berbunyi, "Woi, korang reti diam tak? Memekak je". Selepas itu, barulah suasana menjadi tenang dan aku dapat memberikan penumpuanku terhadap pembacaanku.

Catatan :
Apabila kita berbicara, adakalanya kita tidak sedar bahawa nada suara kita agak kuat dan boleh menganggu orang yang berada di sekeliling kita. Apabila telah diberi amaran  baru kita akan sedar. Teguran yang diberikan oleh penegur adalah baik untuk menyedarkan pelajar yang membuat bising, tetapi caranya agak kasar dan masih terdapat cara lain untuk menyedarkan seseorang itu dari kesilapannya. J



Saling bantu-membantu sesama jiran

HAK Milik Rogayah Ahmad