Bila Rindu

Ahad, 27 Februari 2011

Terima Kasih

Tarikh  : 27 Februari 2011
Hari      : Ahad
Waktu  : 3.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Teman serumahku ingin meminjam Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Melayu daripadaku. Aku dengan senang hati membenarkan dia meminjam buku tersebut. Teman serumahku berkata “akak pinjam dulu ye, nanti akak pulangkan”. Setelah satu jam berlalu, teman serumahku memulangkan semula buku tersebut dengan ucapan terima kasih.

Catatan:
Pada hari ini, budaya mengucapkan terima kasih sudah jarang diucapkan dalam segelintir masyarakat kita. Apabila kita meminta tolong daripada seseorang, kita seharusnya membalas kebaikan tersebut dengan ucapan terima kasih. Mudah sahaja melafazakannya. Jadikanlah amalan tersebut sebagai satu budaya dalam hidup kita. J




Sahabat

Tarikh  : 26 Februari 2011
Hari      : Sabtu
Waktu   : 11.00 pagi
Tempat : Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Peristiwa:
Pada hari ini aku telah pergi ke perpustakaan Tuanku Bainun kerana terdapat perbincangan dengan teman sekumpulanku.  Semasa di perpustakaan, aku tidak menyangka akan menyaksikan satu adegan yang sungguh menyayat hati. Seorang teman sedang membuli temannya sendiri.  Kau ni, badan je besar tapi lembik.” Namun temannya itu hanya tunduk dan mendiamkan diri. Beberapa ketika aku lihat si teman menitiskan air matanya.

Catatan :
Berdasarkan cerita tersebut, jelas menggambarkan sikap tidak sopan seseorang itu dalam berbahasa. Kita tidak boleh mengherdik orang sesuka hati walaupun orang itu kurang sempurna pada pandangan kita. Kata-kata hinaan yang diberikan benar-benar mengguris hati si teman sehingga menumpahkan air matanya. J  

Hargailah sahabat kita

Andai Ibuku Masih Ada

Tarikh  : 25 Februari 2011
Hari      : Jumaat
Waktu  : 10.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku meneliti kembali tugasan sajak yang aku telah hasilkan untuk kursus keterampilan penulis. Namun setelah aku meneliti setiap sajak, hatiku menjadi sayu apabila membaca sebuah sajak yang telah aku hasilkan khas untuk arwah ibuku yang bertajuk “ Andai Ibuku Masih Ada”. Hayatilah:
           

rogayah ahmad
ANDAI IBUKU MASIH ADA

Andai ibuku masih ada
akan kusujud dikakinya
akan kudakap semahu-mahunya
akan kukucup penuh rasa
akan kuungkap baris-baris
untaian kata memohon keampunan
kerna kau ibuku

Andai ibuku masih ada
akan kulakukan segala arahanmu
akan kupatuh segala kata-katamu
akan kusemat segala nasihatmu
apa jua yang kau ujarkan
akan kusetia memenuhinya

Namun kini kau telah tiada
Sudah empat tahun kau bersemadi
Tenang di alam barzakh
Hanya doa yang mampu aku titipkan
Hanya pusaramu yang akan aku kunjung
Damailah ibu di sana
InsyaALLAH
Disyurga nanti kita bertemu.
Al-Fatihah.

Tanjong Malim
20.01.2011

Catatan:
Buat semua yang mempunyai ibu, hargailah ibu kamu semasa dia masih ada. Jangan sesekali menyakiti hatinya. Balaslah jasa ibu. Senangkanlah hatinya dengan berita dan peristiwa yang menggembirakan. Al-Fatihah buat ibuku, Mazanah binti Salikon.

Saya sayang ibu saya



Amaran

Tarikh  : 24 Februari 2011
Hari      : Khamis
Waktu  :  4.30 petang
Tempat : Taman Bahtera, Tanjong Malim

Peristiwa:
Aku baru sahaja pulang dari kelas. Ketika aku berjalan di kawasan perumahan Taman Bahtera, aku terpandang sebuah notis yang diletakkan oleh tuan rumah. Notis tersebut merupakan notis memberi amaran. Notis tersebut bertulis “ ko ingat ko sorang je ader kete? Ini kawasan rumah aku. Aku sorang je boleh letak kete kat sini. Faham!”. Agak kasar penggunaan bahasa tuan rumah tersebut. Aku memang mengakui bahawa situasi meletakkan kenderaan di Taman Bahtera agak memeningkan. Kadang kala orang luar sesuka hati meletakkan kenderaan dalam perkarangan rumah orang lain. Namun kita seharusnya menggunakan bahasa yang berhemah untuk menegur orang lain.

Catatan:
Sebagai masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat perpaduan kaum, kita tidak boleh menggunakan bahasa yang kasar untuk menegur seseorang. Tidak salah jika kita ingin menegur, tetapi haruslah menggunakan bahasa teguran dan nasihat yang betul. Jika tidak mahu bersemuka, tuliskan dalam notis tersebut dengan menggunakan ayat yang baik. Contohnya, “Harap maaf, sila letakkan kenderaan anda di kawasan lain. Terima Kasih”. Sudah pasti orang yang membaca notis tersebut tidak akan marah dan meletakkan kenderaan mereka di kawasan lain. J

Amalkan





Aras BW

Tarikh  : 22 Februari 2011
Hari      : Selasa
Waktu  : 3.30 petang
Tempat : Bangunan E-Learning, UPSI

Peristiwa:
Aku dan Saliza baru pulang dari perpustakaan. Kami melalui jalan pintas untuk pulang ke kolej kediaman dengan melalui bangunan E-Learning. Ketika aku melalui bangunan tersebut, aku terpandang sebuah papan tanda penunjuk arah. Pada papan tanda tersebut tertera perkataan  Aras BW”. Pada mulanya aku sangkakan pihak pengurusan bangunan tersebut sengaja meletakkan nama aras tersebut BW bagi menampakkan keunikan daripada segi nama. Namun selepas aku melihat nama-nama bagi aras lain tidak pula pihak pengurusan meletakkan nama yang agak unik. Aras-aras lain diletakkan nama aras 1, aras 2  sehingga aras 6.

Catatan:
Aras BW” merupakah singkatan bagi nama aras bawah. Pihak pengurusan seharusnya harus peka terhadap penggunaan bahasa. Hal ini akan mengelirukan orang ramai. Cintailah bahasa Melayu kita. J


Aras BW



Isnin, 21 Februari 2011

Pilihan Raya Kampus

Tarikh  : 20 Februari 2011
Hari      : Ahad
Waktu  :  10.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Hari minggu memang aku nantikan. Pada hari minggu sahaja aku dapat berehat dan melakukan aktiviti memasak. Pada hari ini aku ingin memasak sup sayur. Apabila aku sedang asyik menyediakan bahan untuk di masak, kedengaran suara mahsiswa dan mahasiswi  di perkarangan kolej sedang sibuk berkempen untuk pilihan raya kampus yang akan dijalankan pada hari esok. Pelbagai manisfesto yang dibentangkan. Namun terdapat beberapa calon yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul ketika mereka berucap. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa dialek untuk meraih penggundi yang berasal daripada negeri yang sama.

Catatan:
Sebagai bakal pemimpin mahasiwa, mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Tidak salah menggunakan bahasa dialek namun harus diingat bahawa untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang harus digunakan ketika berbicara terutama sekali ketika berurusan dengan pihak atasan. Renung-renungkanlah. J
Gambar hiasan






Rebus

Tarikh  : 19 Februari 2011
Hari      : Sabtu
Waktu  : 11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Pada hari ini, aku telah pergi ke Pasar Awam Tanjong Malim untuk membeli bahan masakan. Setelah aku pulang dari pasar, aku meletakkan barang-barang yang telah aku beli di atas meja. Pada masa yang sama, rakan serumahku keluar daripada bilik untuk membuat minuman. Apabila dia memegang bekas air, dia berkata “ eh, ingatkan air ni dah rebus”. Rebus?. Hendak tergelak aku dibuatnya. Rakan serumahkan berasal dari Kelantan. Aku bertanyakan kepadanya semula, “orang Kelantan kalau nak masak air  memang cakap rebus air ke?”. Dia mengiyakan pertanyaanku.

Catatan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1300) kata rebus ditakrifkan sebagai sesuatu yang dimasak di dalam air. Contohya kacang, telur dan ubi. Melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul, kata rebus tidak sesuai digunakan untuk memasak air. Namun dalam penggunaan dialek, kata rebus boleh digunakan mengikut kesesuaian sesuatu daerah. J




Berbudi Bahasa

Tarikh  : 16 Februari 2011
Hari      : Rabu
Waktu   : 9 : 50 pagi
Tempat : Proton City

Peristiwa:
Aku memegang jawatan sebagai Setiausaha Seketeriat Rakan Muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pada hari ini, aku telah ditugaskan untuk  berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengadakan lawatan ke sana. Ketika aku berhubung dengan pegawai yang bertugas, aku telah menerangkan tujuan Seketeriat Rakan Muda UPSI untuk mengadakan lawatan ke sana. Setelah selesai aku memberikan penerangan dengan menggunakan bahasa Melayu baku, pegawai tersebut telah memperlekehkan bahasa Melayu baku yang telah aku gunakan. “Kamu ni macam pemberita cakapnya”, kata pegawai tersebut.

Catatan:

Ketika berurusan dengan pihak kerajaan, kita haruslah menggunakan bahasa Melayu baku dengan baik untuk menunjukan rasa hormat kita kepada pihak yang berkenaan. Namun apabila penggunaan bahasa yang betul diperlekehkan, tidak dapat dipastikan bahawa  adakah pihak tersebut tidak diberikan kursus mengenai cara berbahasa yang baik ketika  melayan pelanggan?. Renung-renungkanlah. J

Amalkan





Nabi Muhammad S.A.W.

Tarikh  : 15 Februari 2011
Hari      : Selasa
Waktu  :  5.30 petang
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
15 Februari 2011 bersamaan dengan 12 Rabiulawwal 1432 Hijrah merupakan tarikh kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Pada hari ini kita digalakkan memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan menyedekahkan Al-Fatihah. Aku telah membuka sebuah rencana yang mengisahkan ketokohan Nabi Muhammad. Apabila aku asyik membaca rencana tersebut, aku begitu kagum dengan gaya penulisan yang dikarang oleh penulisnya iaitu Ismail Ahmad. Antara contoh ayat yang dihasilkan ialah :
                
                Sejak dahulu lagi ramai sarjana dan ilmuwan sama ada yang berasal dari negara Islam mahupun Barat, yang menulis mengenai ketokohan dan kehebatan Rasulullah S.A.W. Pelbagai dimensi dikaji dan ternyata melalui semua segi Nabi Muhammad menampakkan kejituan sebagai Rasul yang tidak boleh diatasi oleh sesiapapun.  Semakin ditulis dan dikaji, semakin banyak terserlah kewibawaannya sehingga apa-apa sahaja buku yang dihasilkan mengenai Nabi Muhammad memercikkan aura keterujaan kepada setiap pembaca untuk terus menatapnya. Begitulah aroma keberkatan Nabi Muhammad.  Malah, tiada seorang tokoh pun di dunia yang setanding dengan Nabi Muhammad yang sejarah perjalanan hidupnya dirangkum dalam aneka bidang keilmuan sehingga kita terpesona lalu menerjah kotak fikiran untuk terus   menggali khazanah perbendaharaan hikmah di sebaliknya.

Catatan:
Melalui penulisan rencana di atas, kita dapat melihat bahawa penulis menggunakan kosa kata yang jarang digunakan di dalam sesebuah penulisan. Contohnya kosa kata aroma keberkatan, menerjah kotak fikiran dan menggali khazanah perbendaharaan. Penulis amat bijak dalam memainkan kosa kata untuk menjadikan penulisannya tampak menarik dan unik. J


Selawat 






Cop atau Cap?

Tarikh  : 14 Februari 2011
Hari      : Isnin
Waktu  :  5.30 petang
Tempat : Fakulti Bahasa dan Komunikasi

Peristiwa:
Aku bersama rakanku, Saliza telah pergi ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi  untuk mengambil semula kertas kerja yang telah dihantar kepada Puan Leela Chakrabarty untuk tujuan pengesahan. Nasib kami agak baik kerana Puan Leela ada di dalam biliknya. Setelah kami meminta izin untuk masuk ke dalam biliknya, Puan Leela mempersilakan kami untuk duduk. Ketika Puan Leela menyemak kembali kertas kerja kami, satu perkataan yang aku sangat tertarik apabila Puan Leela mengujarkannya iaitu kata cap”.  “Saya belum cap lagi kertas kerja kamu kerana saya inginkan sebuah lagi salinan kertas kerja untuk dihantar ke bahagian akademik”, ujar Puan Leela.


Catatan:
Walaupun Puan Leela merupakan seorang pensyarah bahasa Inggeris dan berketurunan India, beliau masih lagi menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Perkataan “cap” yang diujarkan oleh beliau menunjukkan beliau amat peka dengan bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 246), cap ialah alat untuk menurunkan bekas atau kesan tanda tangan dengan menekannya di atas kertas. Namun kebanyakan masyarakat kita masih menggunakan perkataan cop” untuk tujuan mendapatkan pengesahan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 288), cop mempunyai dua maksud iaitu sejenis alat untuk menggali tanah atau sejenis alat yang digunakan untuk mengupas kelapa. Seharusnya kita sebagai penutur bahasa Melayu harus peka dengan setiap maksud perkataan. J



Cap 

Sabtu, 12 Februari 2011

Kucing

Tarikh  : 12 Februari 2011
Hari      : Sabtu
Waktu   :  4.00 petang
Tempat : Perhentian bas Kolej Ungku Omar

Peristiwa:
Pada pukul empat petang, aku bersama rakanku, Saliza menunggu bas untuk pergi ke pekan. Sedang aku menunggu bas tiba, berlaku satu adegan yang menyayat hati di hadapan mataku. Seekor anak  kucing dilanggar oleh sebuah kereta. Mungkin pemandu kereta itu tidak menyedari kejadian itu dan terus berlalu pergi. Pada masa yang sama seorang pelajar perempuan yang turut sama melihat kejadian itu menitiskan air mata dan berkata “zalimnya, buta agaknya”. Aku yang mendengarnya  terkedu seketika.

Catatan :
Setiap insan haruslah mempunyai sikap berperikemanusiaan dan kasih sayang dalam diri tidak kira sesama manusia mahupun dengan haiwan. Namun mungkin bukan salah pemandu tersebut kerana anak kucing itu kecil dan melintas jalan secara tiba-tiba. Bukan selayaknya kita yang sekadar manusia biasa untuk menilai buruk baiknya seseorang insan itu. Adakalanya kita juga  tidak bertindak sewajarnya tanpa kita sedari. J





Comel

Bas

Tarikh  : 10 Februari 2011
Hari      : Khamis
Waktu  :  7.30 pagi
Tempat : Perhentian bas Kolej Ungku Omar

Peristiwa:
Aku dan teman-teman sekelas mahu menghadiri kuliah di Proton City. Ketika kami menanti bas untuk bergerak, tiba-tiba aku terdengar seorang pelajar lelaki yang duduk berhampiran denganku menjerit memarahi pemandu bas. “Woi, cepat la jalan!”. Aku menjangkakan pemandu bas tersebut akan dengar, namun bas masih juga tidak bergerak sehinggalah seorang pelajar lelaki lain tampil ke tempat pemandu bas dan memintanya bergerak ke destinasi kami.

Catatan :
Perbuatan pelajar tersebut agak kurang sopan dan boleh dikatakan sebagai kurang ajar dan biadap. Sepatutnya dia bertindak seperti seorang lagi pelajar yang pergi menghampiri pemandu bas tersebut dan memintanya untuk segera bertolak ke destinasi yang ingin dituju. Begitulah contoh yang sewajarnya ditunjukkan oleh seorang insan yang bakal menjadi seorang guru kelak. J



Berbudi bahasa amalan kita


Ek

Tarikh  : 9 Februari 2011
Hari      : Rabu
Waktu   :  8.30 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku tertawa kecil melihat pesanan ringkas yang dihantar oleh temanku yang berasal daripada Johor dan belajar di universiti yang sama denganku. Kenapa agaknya aku tertawa?. Ayatnya seperti berikut, pukul berapa nak datang amek ek?”. Ek”?. Aku berasal dari Johor Baharu. Bahasa di Johor ada kelainannya sedikit. Jika ingin mengenali orang Johor mudah sahaja. Kebanyakan orang yang berasal daripada Johor akan menggunakan perkataaan ek” ketika berkomunikasi.

Catatan:
Perkataan ek” digunakan untuk menanyakan seseorang tentang sesuatu perkara. Contohnya,  “Siapa yang menjuarai pertandingan nyanyian itu ek?. Agak lucu bunyinya. Namun, bagi masyarakat di Johor, perkataan “ek” sudah biasa digunakan dalam bahasa harian. J




Saya sayang Johor






Bahasa

Tarikh  :  8 Februari 2011
Hari      : Selasa
Waktu  : 6.30 petang
Tempat : Blok satu aras dua Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.

Peristiwa:
Tugas aku di kolej ialah sebagai rakan Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan. Aku telah ditugaskan untuk menjaga kebajikan pelajar di blok satu aras dua. Ketika aku sedang menunggu pintu lif bergerak ke aras dua untuk bertanyakan keadaan pelajar sama ada sihat atau tidak, aku terpandang sebuah notis yang berkaitan dengan perkhidmatan mencetak. Apabila aku membaca notis tersebut, terdapat kesalahan bahasa yang digunakan oleh penulis notis. Contoh ayat yang digunakan ialah  jangan habeskan tenaga” dan saya ade menawarkan”. Aku tersenyum dan menggelengkan kepala melihat kesalahan bahasa yang terdapat dalam notis tersebut.

Catatan :
Penulis notis menggunakan huruf “e” pada perkataan “habeskan” dan “ade”. Sepatutnya penulis notis menggunakan huruf “a” dalam kata tersebut. Berkemungkinan penulis notis ingin menampakkan kelainan pada notis tersebut dan mengajukkan perkataan yang sering digunakan dalam bahasa seharian bersama rakan-rakan. Namun sebagai seorang mahasiswa, kita haruslah menggunakan bahasa dengan betul. 


















Selamat Tahun Baharu Cina

Tarikh  : 7 Februari 2011
Hari      : Isnin
Waktu   :  8.30 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Pada tiga dan empat Februari 2011, sambutan Tahun Baharu Cina telah berlangsung dengan suasana yang cukup meriah di Malaysia. Aku turut merayakan perayaan tersebut dengan berkunjung ke rumah rakanku di Taman Sentosa Kulai, Johor. Rakanku bernama Chew  Lee Fan. Ketika aku ingin masuk ke rumahnya, aku terpandang sebuah kain rentang yang tertulis  Selamat Tahun Baharu Cina”. Aku tersenyum melihat kain rentang tersebut. Walaupun Chew Lee Fan seorang yang berbangsa Cina,  namun dia menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Catatan:
Seringkali kita melihat bahawa, kebanyakan masyarakat tidak peka dengan maksud perkataan baru dan baharu.  Kata baru digunakan untuk menunjukkan masa. Contohnya, Mak Ngah baru sahaja sampai di rumah emak. Kata baharu pula digunakan untuk menunjukkan perkara yang baru atau sifat yang baru. Contohnya, adik mendapat kasut yang baharu daripada ayah. Kebanyakannya pada Tahun Baharu Cina, kebanyakan masyarakat masih banyak menggunakan perkataan baru berbanding baharu ketika berkomunikasi atau menulis ucapan untuk sahabat handai dan keluarga. Semua masyarakat harus peka terhadap  perbezaan makna dua perkataan ini. J


Peka terhadap bahasa Melayu
















HAK Milik Rogayah Ahmad