Bila Rindu

Jumaat, 18 Mac 2011

Guru

Tarikh  : 18 Mac 2011
Hari     : Jumaat
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku telah berjumpa kembali bersama guru yang mengajar aku semasa berada di darjah enam. Wajahnya tidak banyak berubah. Cikgu Suzana namanya. Cikgu Suzana mengambil Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di UPSI dalam bidang bahasa Melayu. Banyak perkara yang telah  aku bualkan bersamanya. Antaranya berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan cara mengawal murid. Namun satu perkara yang menarik perhatianku apabila Cikgu Suzana menyatakan bahawa apabila kita berhadapan dengan murid, kita tidak perlu memberikan ganjaran atau peneguhan dalam bentuk benda seperti bahan makanan ringan. Sebagai seorang guru, kita boleh memberikan peneguhan melalui pujian, kata-semangat dan perangsang untuk menjadikan murid lebih seronok dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Catatan :
 Sebagai seorang bakal pendidik, aku terfikir bahawa benar juga tentang perkara yang diujarkan oleh Cikgu Suzana. Jika sebelum ini pengajaran makro yang disampaikan oleh pelajar kelas Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 2, lebih memberikan peneguhan dalam bentuk makanan ringan. Hal seperti ini lebih menarik perhatian murid. Namun harus diingat bahawa, ketika di sekolah jika kita asyik memberikan ganjaran, murid akan selalu mengharapakan sesuatu daripada guru. Murid akan belajar dalm situasi yang tidak ikhlas dan hanya untuk mendapatkan ganjaran dan bukannnya untuk menuntut ilmu. Renung-renungkan J





Hikayat Abdullah

Tarikh  : 17 Mac 2011
Hari     :  Khamis
Waktu :  09.00 pagi
Tempat :  Proton City

Peristiwa:
Pada hari ini aku bersama ahli kumpulan yang lain akan membentangkan Hikayat Abdullah  di dalam kelas karya agung. Agak gementar juga untuk membentangkan tugasan pada hari ini. Hal ini demikian kerana pensyarah aku iaitu Profesor Abdullah Hassan merupakan salah seorang tokoh bahasa. Jika terdapat kesalahan berbahasa pasti akan ditegur oleh beliau. Satu perkara yang menarik perhatianku apabila beliau menegur salah seorang daripada ahli kumpulan mengenai nada ketika bertutur. Contohnya ayat,  “antara perkara yang menarik”. Nada yang harus digunakan bagi menggunakan ayat tersebut adalah secara menurun dan bukannya diujarkan secara menaik.

Catatan:
Banyak perkara yang aku pelajari melalui kelas karya agung ini. Kuliah karya agung ini bukan sahaja berkisarkan kepada karya-karya agung, namun berkisar juga kepada penuturan bahasa baku yang lebih baik. J





Mahal

Tarikh  : 16 Mac 2011
Hari     : Rabu
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku memilih untuk membeli makanan di kedai makan Kolej Harun Aminurrashid. Aku mengambil sedikit sahaja sayur sawi goreng. Aku jangkakan harga bayaran tersebut sekitar RM0.80  hingga RM1.00. Namun pekerja kedai makan tersebut meletakkan bayaran sebanyak RM1.50. Aku terkejut dengan harga bayaran sayur tersebut yang agak mahal kerana sayur yang aku ambil sedikit sahaja kuantitinya. Aku terus membayar kerana malas hendak bertelagah dengan pekerja tersebut. 

Catatan:
Pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPSI, telah menetapkan harga makanan bagi setiap kedai makan di bawah pengurusan mereka. Namun pekerja kedai makan tersebut sesuka hati sahaja menaikkan harga makanan. Sikap seperti ini tidak wajar dicontohi kerana mahukan keuntungan yang lebih besar sahaja. J


Inilah sayurnya







Jepun

Tarikh  : 15 Mac 2011
Hari     : Selasa
Waktu :  11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku tertarik untuk berkongsi cerita berkaitan dengan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun. Setiap hari terpampang kisah gempa bumi dan tsunami di akhbar. Hatiku tersentuh melihat bencana alam yang menimpa Jepun. Berjuta-juta penduduk di bahagian utara Jepun yang musnah dilanda gempa bumi dan tsunami terpaksa hidup tanpa air, makanan atau peralatan pemanas badan dalam cuaca sejuk yang hampir beku. Miyagi, negeri yang paling teruk terjejas dalam bencana alam itu.  Rumah pembakaran mayat di situ tidak dapat menampung jumlah mayat yang dibawa masuk untuk dibakar. Namun terdapat  satu perkara yang menarik perhatianku. Walaupun Jepun sedang mengalami bencana alam yang teruk, namun sikap orang Jepun yang sudah terdidik dengan peraturan dan disiplin hidup dapat dilihat dengan jelas ketika situasi menyelamat mangsa. Rakyat Jepun akan beratur menunggu giliran untuk diselamatkan oleh pihak penyelamat. Mereka tidak mementingkan diri sendiri dan sabar menanti walaupun kesan daripada gempa bumi dan tsunami akan mengancam nyawa mereka dalam sekelip mata sahaja.
Catatan:
Kita haruslah mencontohi sikap penduduk Jepun yang sanggup beratur menunggu giliran untuk diselamatkan walaupun bahaya  akan menanti. Sikap tidak mementingkan diri sendiri akan memudahkan kerja-kerja penyelamat untuk menyelamatkan mangsa. Sikap seperti ini perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan ksejahteraan hidup dan sikap saling hormat menghormati. J

                               
                                Tsunami di Jepun

Khamis, 17 Mac 2011

PABM

Tarikh  : 14 Mac 2011
Hari     : Isnin
Waktu :  9.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Pada hari jumaat  yang lepas, aku telah menonton peringkat akhir pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 di kaca televisyen saluran satu. Aku berasa kagum dengan kehebatan peserta dari luar negara  yang menyampaikan persembahan pidato dalam bahasa Melayu. Berikut merupakan kenyataan akhbar berkaitan dengan pertandingan tersebut :

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara. Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya. "Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu. "Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini. Menurut Mohamed Khaled, kementerian akan terus memperkasakan pelbagai program untuk membantu penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan untuk menguasai bahasa Melayu. "Kita akan memperbanyakkan program seumpama ini selain mewujudkan program baharu termasuk mewajibkan mereka mengambil subjek Bahasa Melayu, namun segala keputusan yang diperoleh tidak akan direkodkan. "Ia hanya bertujuan membantu mereka menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berurusan di negara ini," katanya. Selain itu jelasnya, kementerian juga akan memperbanyakkan program pertukaran pelajar bagi membolehkan proses penguasaan bahasa Melayu dilakukan. Seramai 59 peserta dari 56 negara akan berentap bagi merebut Piala Perdana Menteri itu. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan antarabangsa untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.

Catatan:
Penganjuran pertandingan seperti ini mampu memartabatkan kembali bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia namun  ke peringkat antarabangsa juga. Usaha murni yang dijalankan oleh pihak kerajaan ini seharusnya diberikan pujian di atas penganjurannya.  J

Peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 

Selasa, 15 Mac 2011

Komuter

Tarikh  : 13 Mac 2011
Hari     : Ahad
Waktu  :  9.00 malam
Tempat : Kuala Lumpur

Peristiwa:
Pada hari ini aku telah pulang semula ke Tanjong Malim setelah tiga hari aku mengahabiskan cuti di kampung. Semasa di Kuala Lumpur, aku telah menggunakan pengangkutan awam iaitu komuter untuk pulang ke Tanjong Malim. Aku telah menaiki komuter dan duduk di bahagian koc wanita. Namun terdapat juga orang lelaki yang menaiki koc tersebut. Sikap tersebut seolah-olah tidak menghormati kaum wanita lain dan lebih mementingkan diri sendiri sahaja.  

Catatan :
Perkataan koc menurut Kamus Dewan Edisis Keempat yang membawa maksud gerabak kereta api untuk membawa penumpang. Koc wanita yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) hanya boleh digunakan oleh penumpang wanita sahaja. Namun terdapat juga pengguna lelaki tanpa segan dan malu menaiki koc tersebut. Sikap pentingkan diri sendiri ini tidak harus dicontohi. Renung-renungkan. J



Hanya untuk wanita sahaja

Jiran

Tarikh  : 9 Mac 2011
Hari     : Rabu
Waktu :  9.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku sedang menelaah pelajaranku sendirian di dalam bilik. Teman sebilikku masih belum pulang dari perbincangannya dengan teman sekelas. Walau bagaimanapun, tumpuanku agak terganggu pada malam ini. Bunyi bising dengan gelak tawa dari arah tingkat bawah rumahku benar-benar mengganggu pembacaanku. Satu perkara yang tidakku sangka apabila tiba-tiba terdengar satu suara memarahi pelajar-pelajar yang membuat bising itu. Ayatnya berbunyi, "Woi, korang reti diam tak? Memekak je". Selepas itu, barulah suasana menjadi tenang dan aku dapat memberikan penumpuanku terhadap pembacaanku.

Catatan :
Apabila kita berbicara, adakalanya kita tidak sedar bahawa nada suara kita agak kuat dan boleh menganggu orang yang berada di sekeliling kita. Apabila telah diberi amaran  baru kita akan sedar. Teguran yang diberikan oleh penegur adalah baik untuk menyedarkan pelajar yang membuat bising, tetapi caranya agak kasar dan masih terdapat cara lain untuk menyedarkan seseorang itu dari kesilapannya. J



Saling bantu-membantu sesama jiran

Pemandu Bas

Tarikh  : 10 Mac 2011
Hari     : Khamis
Waktu  : 5.00 petang
Tempat : Perhentian Bas Taman Bernam

Peristiwa:
Aku bersama rakan-rakan baru sahaja selesai kuliah di Taman Bernam. Kami menuju ke perhentian bas berhadapan dengan Taman Bernam untuk menunggu bas. Setelah 10 minit berlalu, bas tidak muncul juga. Beberapa minit kemudian, dari jauh kelihatan bas UPSI yang akan berhenti di perhentian. Kami terus beratur untuk menanti bas tersebut tiba. Namun bas tersebut tidak berhenti. Kekecewaan kami bertambah apabila sikap pemandu bas yang tidak langsung memandang ke arah kami dan terus membawa bas dengan laju. Bas tersebut hanya membawa beberapa orang penumpang sahaja.

Catatan:
Sikap pemandu bas tersebut tidak wajar dicontohi. Tugas utama pemandu tersebut adalah untuk mengambil pelajar. Namun pemandu tersebut tidak menjalankan tanggungjawab yang dipikul dengan baik. Seharusnya kita perlu mempunyai sikap tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan tugasan. Renung-renungkan. J




Isnin, 14 Mac 2011

Kagum

Tarikh  : 8 Mac 2011
Hari     : Selasa
Waktu : 11.00 pagi
Tempat : Klinik Kesihatan Tanjong malim

Peristiwa:
Pada hari ini aku bersama empat orang rakan telah pergi ke Unit Psikososial Klinik Kesihatan Tanjong Malim, Perak. Tujuan kami adalah untuk membuat penyelidikan mengenai penerapan modal insan dalam kalangan pesakit mental. Penyelidikan ini bertujuan untuk memenuhi tugasan berkumpalan bagi  kursus Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan. Terdapat seramai 21 orang  pesakit mental yang menerima rawatan di klinik tersebut. Namun aku tertarik dengan kisah Pak Sidek yang berusia 50 tahun. Otaknya sangat bijak. Namun sejak kematian ibunya pada tahun 1980 dan tekanan hidup, dia telah mengalami ganguan mental. Pak Sidek tidak berkahwin dan tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapanya. Sikap ibu tirinya yang garang dan suka memerintah telah menjadikan dia hidup dalam keadaan tekanan. Menurut ceritanya lagi, dia pernah belajar di Institut Kemahiran Belian Negara (IKBN) cawangan Kelantan sehingga memperoleh sijil. Namun terdapat perkara yang lebih  menarik perhatian kami mengenai Pak Sidek  apabila Pak Sidek menyuruh kami mengamalkan bahasa dengan betul. Menurutnya bahasa jiwa bangsa.


Catatan:
Sebagai manusia yang normal, kita seharusnya bersyukur dengan anugerah yang telah diberikan Tuhan kepada kita. Walaupun Pak Sidek mengalami ganguan mental, namun dia tidak lupa akan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan rasmi. Aku turut kagum dengannya. J


Bersama Pak Sidek


Berat Mulut

Tarikh  : 7 Mac 2011
Hari     : Isnin
Waktu : 12.00 tengah hari
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku baru sahaja pulang dari kelas di Proton City. Kakiku terus melangkah menuju ke pintu lif untuk naik ke tingkat sembilan. Seramai enam orang yang akan bersama-sama menaiki lif bersamaku. Aku menjaga butang lif supaya pintu keluar masuk dapat diawasi. Maklum sahajalah aku berada pada aras atas sekali dan orang terakhir yang akan keluar. Aku bertanyakan kepada pelajar lain aras yang mereka akan naik. Ada yang menjawab aras lima, aras enam dan aras lapan. Ucapan terima kasih turut diujarkan. Namun terdapat seorang pelajar yang akan naik ke aras 7 tidak memberitahu aku supaya menekan butang aras tujuh. Terus sahaja tangannya mencapai butang tujuh. Agak terperanjat juga aku apabila secara tiba-tiba sahaja dia mencapai butang aras tujuh.

Catatan:
Tingkah laku cerita di atas agak kurang sopan dilakukan oleh pelajar tersebut. Tidak salah kiranya dia meminta tolong daripada aku. Aku tidak menginginkan apa-apa. Sekadar ingin menolong. J



Gambar hiasan



Ahad, 6 Mac 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

Tarikh  :  6 Mac 2011
Hari      : Ahad
Waktu  : 3.00 petang
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Semalam telah berlangsungnya majlis diskusi ilmu. Banyak perkara yang aku telah pelajari sepanjang majlis tersebut berlansung. Pada awal  permulaan majlis, terdapat nyanyian sebuah lagu yang bertajuk Bahasa Jiwa Bangsa. Aku tertarik dengan lirik lagu tersebut. Lirik lagunya seperti berikut :


Lirik Lagu Bahasa Jiwa Bangsa

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa
Catatan:
Melalui lirik lagu tersebut, kita dapat fahami bahawa lagu Bahasa Jiwa Bangsa menyeru rakyat satu Malaysia agar menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Melalui bahasa, rakyat yang berbilang kaum akan dapat disatukan. Selamat mendengar. J





Sabtu, 5 Mac 2011

Diskusi Ilmiah

Tarikh  : 5 Mac 2011
Hari      : Sabtu
Waktu  : 9.00 pagi
Tempat : Auditorium Utama UPSI


Peristiwa:
Pada 5 Mac 2011, telah diadakan satu majlis diskusi ilmiah yang berlangsung di Auditorium Utama UPSI.  Diskusi ilmiah  ini bertajuk “Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini”. Penceramah jemputan  terdiri daripada  Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, En.Rusli bin Abdul Ghani dan Puan Norliza binti Jamaluddin. Diskusi ilmiah ini dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) UPSI. Satu perkara yang menarik perhatian aku ialah perkara yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Menurut beliau, Tatabahasa Dewan adalah pegangan utama guru bahasa Melayu untuk diajarkan di sekolah. Namun guru juga seharusnya memilih bahan rujukan lain untuk melihat persamaan dan perbezaan. Banyakan membaca dan mencari ilmu baharu yang mungkin dapat membantu bakal-bakal guru bahasa Melayu di sekolah kelak.

Catatan:
Tatabahasa Dewan merupakan sebuah buku rujukan berkaitan dengan hukum tatabahasa dalam bahasa Melayu. Buku ini menjadi rujukan utama bagi guru dan murid di sekolah. Namun hal ini tidak bermakna buku rujukan lain tidak boleh digunakan. Sebagai bakal guru bahasa, kita seharusnya menjadikan buku Tatabahasa Dewan  dan beberapa buah buku lain sebagai pegangan dan rujukan. J


Saing

Tarikh  : 2 Mac 2011
Hari      : Rabu
Waktu   : 3.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku teringat kembali kenangan ketika aku berada di semester satu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ketika itu, aku baru sahaja mengenali budaya luar. Sangat berbeza dengan kehidupan sebelum ini. Satu pekara yang aku pelik ialah mengenai bahasa dialek. Contohnya perkataan “saing”. Jika di Johor, saing membawa maksud pergi bersama-sama. Tetapi jika di Kelantan, saing bererti kawan. Patutlah jika aku mengajak kawan aku yang berasal daripada Kelantan untuk pergi ke kuliah bersama-sama, dia berasa hairan mengapa aku menyebut perkataan saing. Contohnya “nanti pergi saing”, kata aku kepada Mira. Mira yang berasal dari Kelantan agak hairan mengapa aku menyebut perkataan saing.

Catatan:
Bahasa dialek sesuatu kawasan agak berbeza daripada segi makna perkataan tertentu. Kadangkala bahasa dialek ini akan mengelirukan seseorang penutur yang bukan datangnya dari daerah yang sama. Sebaiknya kita haruslah belajar bahasa dialek dari negeri lain untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Selamat belajar. J

Saing (pergi bersama-sama)

Saing (kawan)


“Cetusan Ilmu Menjana Pendidikan”

Tarikh  : 1 Mac 2011
Hari      : Selasa
Waktu  : 2.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Bermula pada 1 Mac hingga 6 Mac 2011, akan berlangsung Pesta Ilmu dan Informasi 2011 di Kolej Harun Aminurrashid. Pesta ilmu ini bertemakan “Cetusan Ilmu Menjana Pendidikan”. Pelbagai program menarik yang disediakan. Antaranya jualan gerai buku, forum perdana, ceramah Maulidurrasul, festival nasyid dan berbagai lagi acara yanga menarik.

Catatan:
Aktiviti pesta ilmu yang dijalankan di Kolej Harun Aminurrashid ini bertujuan untuk menarik minat membaca dalam kalangan pelajar dan orang ramai. Terdapat pelbbagai jenis buku yang akan dijual termasuklah buku yang berkaitan dengan agama, pendidikan, sejarah, buku kanak-kanak dan sebagainya. Perangkaan menunjukkan bahawa secara purata setiap tahun, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sahaja. Dua buah buku ini hanyalah komik dan novel-novel cinta. Sayangnya, penghasilan bahan bacaan ilmiah yang dianggap tulang belakang dalam proses pembudayaan ilmu itu masih gagal menepati cita rasa masyarakat yang lebih selesa dengan bahan bacaan ringan serta dianggap mampu merehatkan minda. Persoalannya, mengapaka bahan ilmiah sukar menembusi minat masyarakat dan warga institusi pengajian tinggi, walhal kandungannya cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kepentingan wacana pengembangan ilmu berteraskan pendidikan sepanjang hayat. Diharapkan dengan adanya pesta ilmu ini, akan menarik rasa minta dalam kalangan warga Malaysia untuk bersama-sama memanfaatkan kepentingan membaca. J  



Bacalah


Saman

Tarikh  : 28 Februari 2011
Hari      : Isnin
Waktu  : 2.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Akhbar merupakan penjana maklumat harian yang pasti akan aku baca setiap hari. Pelbagai maklumat dan isu semasa yang disampaikan melalui akhbar. Pada hari ini aku telah  membaca sebuah artikel akhbar yang bertajuk  “Tidak Serik”. Artikel ini berkaitan dengan sikap pengguna jalan raya yang suka menangguhkan hal pembayaran saman jalan raya hingga ke saat akhir. Berikut merupakan petikan artikel akhbar tersebut :

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia sekali lagi membuktikan mereka tidak pernah serik membayar saman trafik pada saat-saat akhir. Hari terakhir diskaun saman trafik ditawarkan sejak Ogos tahun lalu yang berakhir semalam menjadi bukti sikap negatif masyarakat negara ini. Gara-gara ribuan orang menyerbu pejabat pos dan balai polis semalam, keadaan kaunter bayaran saman dikatakan kelam-kabut. Tinjauan Kosmo! di ibu kota mendapati sejak pukul 8 pagi, pejabat-pejabat pos diserbu oleh pesalah trafik yang mahu melunaskan saman mereka. Akibatnya sistem komputer rosak dan tidak berfungsi. Berikutan itu, ribuan pesalah trafik menyerbu balai polis berdekatan sehingga menyebabkan keadaan menjadi amat sesak dengan orang ramai. Tinjauan di beberapa lokasi seperti di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan Pejabat Pos Dayabumi di sini mendapati orang ramai yang sabar menunggu sejak pukul 8 pagi terpaksa ‘berputih mata’ untuk membayar saman masing-masing.
Catatan:
Sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara akan mendatangkan keburukan terhadap diri kita. Kerajaan sudah memberi tempoh yang panjang untuk membayar saman. Namun mereka lebih suka mengambil  sikap sambil lewa terhadap saman yang perlu dibayar. Sikap prihatin perlu diterapkan dalam diri setiap masyarakat agar situasi seperti ini tidak akan berlaku. Renung-renungkan dan selamat beramal. J 



Patuhilah peraturan


Ahad, 27 Februari 2011

Terima Kasih

Tarikh  : 27 Februari 2011
Hari      : Ahad
Waktu  : 3.00 petang
Tempat : Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Teman serumahku ingin meminjam Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Melayu daripadaku. Aku dengan senang hati membenarkan dia meminjam buku tersebut. Teman serumahku berkata “akak pinjam dulu ye, nanti akak pulangkan”. Setelah satu jam berlalu, teman serumahku memulangkan semula buku tersebut dengan ucapan terima kasih.

Catatan:
Pada hari ini, budaya mengucapkan terima kasih sudah jarang diucapkan dalam segelintir masyarakat kita. Apabila kita meminta tolong daripada seseorang, kita seharusnya membalas kebaikan tersebut dengan ucapan terima kasih. Mudah sahaja melafazakannya. Jadikanlah amalan tersebut sebagai satu budaya dalam hidup kita. J




Sahabat

Tarikh  : 26 Februari 2011
Hari      : Sabtu
Waktu   : 11.00 pagi
Tempat : Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Peristiwa:
Pada hari ini aku telah pergi ke perpustakaan Tuanku Bainun kerana terdapat perbincangan dengan teman sekumpulanku.  Semasa di perpustakaan, aku tidak menyangka akan menyaksikan satu adegan yang sungguh menyayat hati. Seorang teman sedang membuli temannya sendiri.  Kau ni, badan je besar tapi lembik.” Namun temannya itu hanya tunduk dan mendiamkan diri. Beberapa ketika aku lihat si teman menitiskan air matanya.

Catatan :
Berdasarkan cerita tersebut, jelas menggambarkan sikap tidak sopan seseorang itu dalam berbahasa. Kita tidak boleh mengherdik orang sesuka hati walaupun orang itu kurang sempurna pada pandangan kita. Kata-kata hinaan yang diberikan benar-benar mengguris hati si teman sehingga menumpahkan air matanya. J  

Hargailah sahabat kita

Andai Ibuku Masih Ada

Tarikh  : 25 Februari 2011
Hari      : Jumaat
Waktu  : 10.00 malam
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Aku meneliti kembali tugasan sajak yang aku telah hasilkan untuk kursus keterampilan penulis. Namun setelah aku meneliti setiap sajak, hatiku menjadi sayu apabila membaca sebuah sajak yang telah aku hasilkan khas untuk arwah ibuku yang bertajuk “ Andai Ibuku Masih Ada”. Hayatilah:
           

rogayah ahmad
ANDAI IBUKU MASIH ADA

Andai ibuku masih ada
akan kusujud dikakinya
akan kudakap semahu-mahunya
akan kukucup penuh rasa
akan kuungkap baris-baris
untaian kata memohon keampunan
kerna kau ibuku

Andai ibuku masih ada
akan kulakukan segala arahanmu
akan kupatuh segala kata-katamu
akan kusemat segala nasihatmu
apa jua yang kau ujarkan
akan kusetia memenuhinya

Namun kini kau telah tiada
Sudah empat tahun kau bersemadi
Tenang di alam barzakh
Hanya doa yang mampu aku titipkan
Hanya pusaramu yang akan aku kunjung
Damailah ibu di sana
InsyaALLAH
Disyurga nanti kita bertemu.
Al-Fatihah.

Tanjong Malim
20.01.2011

Catatan:
Buat semua yang mempunyai ibu, hargailah ibu kamu semasa dia masih ada. Jangan sesekali menyakiti hatinya. Balaslah jasa ibu. Senangkanlah hatinya dengan berita dan peristiwa yang menggembirakan. Al-Fatihah buat ibuku, Mazanah binti Salikon.

Saya sayang ibu saya



Amaran

Tarikh  : 24 Februari 2011
Hari      : Khamis
Waktu  :  4.30 petang
Tempat : Taman Bahtera, Tanjong Malim

Peristiwa:
Aku baru sahaja pulang dari kelas. Ketika aku berjalan di kawasan perumahan Taman Bahtera, aku terpandang sebuah notis yang diletakkan oleh tuan rumah. Notis tersebut merupakan notis memberi amaran. Notis tersebut bertulis “ ko ingat ko sorang je ader kete? Ini kawasan rumah aku. Aku sorang je boleh letak kete kat sini. Faham!”. Agak kasar penggunaan bahasa tuan rumah tersebut. Aku memang mengakui bahawa situasi meletakkan kenderaan di Taman Bahtera agak memeningkan. Kadang kala orang luar sesuka hati meletakkan kenderaan dalam perkarangan rumah orang lain. Namun kita seharusnya menggunakan bahasa yang berhemah untuk menegur orang lain.

Catatan:
Sebagai masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat perpaduan kaum, kita tidak boleh menggunakan bahasa yang kasar untuk menegur seseorang. Tidak salah jika kita ingin menegur, tetapi haruslah menggunakan bahasa teguran dan nasihat yang betul. Jika tidak mahu bersemuka, tuliskan dalam notis tersebut dengan menggunakan ayat yang baik. Contohnya, “Harap maaf, sila letakkan kenderaan anda di kawasan lain. Terima Kasih”. Sudah pasti orang yang membaca notis tersebut tidak akan marah dan meletakkan kenderaan mereka di kawasan lain. J

Amalkan





Aras BW

Tarikh  : 22 Februari 2011
Hari      : Selasa
Waktu  : 3.30 petang
Tempat : Bangunan E-Learning, UPSI

Peristiwa:
Aku dan Saliza baru pulang dari perpustakaan. Kami melalui jalan pintas untuk pulang ke kolej kediaman dengan melalui bangunan E-Learning. Ketika aku melalui bangunan tersebut, aku terpandang sebuah papan tanda penunjuk arah. Pada papan tanda tersebut tertera perkataan  Aras BW”. Pada mulanya aku sangkakan pihak pengurusan bangunan tersebut sengaja meletakkan nama aras tersebut BW bagi menampakkan keunikan daripada segi nama. Namun selepas aku melihat nama-nama bagi aras lain tidak pula pihak pengurusan meletakkan nama yang agak unik. Aras-aras lain diletakkan nama aras 1, aras 2  sehingga aras 6.

Catatan:
Aras BW” merupakah singkatan bagi nama aras bawah. Pihak pengurusan seharusnya harus peka terhadap penggunaan bahasa. Hal ini akan mengelirukan orang ramai. Cintailah bahasa Melayu kita. J


Aras BW



Isnin, 21 Februari 2011

Pilihan Raya Kampus

Tarikh  : 20 Februari 2011
Hari      : Ahad
Waktu  :  10.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Hari minggu memang aku nantikan. Pada hari minggu sahaja aku dapat berehat dan melakukan aktiviti memasak. Pada hari ini aku ingin memasak sup sayur. Apabila aku sedang asyik menyediakan bahan untuk di masak, kedengaran suara mahsiswa dan mahasiswi  di perkarangan kolej sedang sibuk berkempen untuk pilihan raya kampus yang akan dijalankan pada hari esok. Pelbagai manisfesto yang dibentangkan. Namun terdapat beberapa calon yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul ketika mereka berucap. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa dialek untuk meraih penggundi yang berasal daripada negeri yang sama.

Catatan:
Sebagai bakal pemimpin mahasiwa, mereka seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Tidak salah menggunakan bahasa dialek namun harus diingat bahawa untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang harus digunakan ketika berbicara terutama sekali ketika berurusan dengan pihak atasan. Renung-renungkanlah. J
Gambar hiasan






Rebus

Tarikh  : 19 Februari 2011
Hari      : Sabtu
Waktu  : 11.00 pagi
Tempat : 1-9-6 Kolej Harun Aminurrashid

Peristiwa:
Pada hari ini, aku telah pergi ke Pasar Awam Tanjong Malim untuk membeli bahan masakan. Setelah aku pulang dari pasar, aku meletakkan barang-barang yang telah aku beli di atas meja. Pada masa yang sama, rakan serumahku keluar daripada bilik untuk membuat minuman. Apabila dia memegang bekas air, dia berkata “ eh, ingatkan air ni dah rebus”. Rebus?. Hendak tergelak aku dibuatnya. Rakan serumahkan berasal dari Kelantan. Aku bertanyakan kepadanya semula, “orang Kelantan kalau nak masak air  memang cakap rebus air ke?”. Dia mengiyakan pertanyaanku.

Catatan:
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1300) kata rebus ditakrifkan sebagai sesuatu yang dimasak di dalam air. Contohya kacang, telur dan ubi. Melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul, kata rebus tidak sesuai digunakan untuk memasak air. Namun dalam penggunaan dialek, kata rebus boleh digunakan mengikut kesesuaian sesuatu daerah. J




HAK Milik Rogayah Ahmad